Posted by: AINI | November 9, 2009

Aktiviti 3: Tugasan 3 Laporan Kolokium

Ulasan bagi 2 Kajian Tindakan yang dibentangkan oleh senior-senior Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) UKM ambilan Januari 2009.

KAJIAN TINDAKAN 1:

Meningkatkan Prestasi Pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Manggis Menguasai Topik Mata Pelajaran Pendidikan Islam, Sains dan Biologi Melalui Teknik Peta Minda.

Pembentang: Ainul Yaqin Abdullah (P48572), Nur Faizah Azizan (P48653) dan Nurul Huda Mahmud Taridi (P48645)

Dari segi penyataan masalah, ramai pelajar mendapat markah yang rendah semasa ujian bulanan 2 dengan merujuk kepada keputusan mereka. Alasan para pelajar adalah kesukaran untuk mengingati fakta-fakta penting dan terminologi. Masalah yang dikenalpasti adalah dari segi teknik pembelajaran membaca dan menghafal yang digunakan oleh para pelajar adalah tidak berkesan.

Dari segi metodologi yang digunakan, guru memperkenalkan dahulu  teknik peta minda. Peta minda digunakan kerana ia menepati objektif setiap subtopik pengajaran. Peta minda menggunakan simbol, bentuk  dan warna yang mengubungkan tajuk-tajuk utama dan isi penting. Kemudian, 2 ujian formatif akan dilakukan diakhir pengajaran selepas pelajar selesai menyiapkan peta minda. Temubual tidak berstruktur dilakukan dengan pelajar bagi mendapatkan maklum balas samada penggunaan peta minda membantu mereka menguasai topik-topik yang diajar.

Seterusnya,  setting kajian dilakukan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Manggis yang membabitkan pelajar tingkatan 4 sahaja. Sampel pula terdiri daripada 20 pelajar bagi subjek Pendidikan Islam, 20 pelajar bagi subjek Sains dan 20 pelajar lagi bagi subjek Biologi. Topik-topik yang terlibat adalah Sirah (Imam Malik Rahimullah) dan Ibadah (Gadaian) bagi Pendidikan Islam, Addition and Substraction of Coloured Light (Chapter 7) dan Ammonia in Industry (Chapter 8 ) bagi Sains dan The Abiotic and Biotic Components of the Environment dan Colonisation and Succession in a Ecosystem (Chapter 8 ) bagi Biologi.

Pengumpulan data melibatkan subjek seramai 60 orang. Dua ujian formatif dijalankan iaitu ujian formatif 1 dan ujian formatif 2. Seterusnya, penganalisaan data dijalankan dengan merujuk kepada markah yang diperoleh oleh pelajar berdasarkan kedua-dua ujan. Selain itu, interview dijalankan kepada pelajar bagi mendapat maklum balas tentang penggunaan teknik peta minda ini. Penganalisaan data disini dilakukan secara kuantitatif dan kualitatif.

Kajian ini menunjukkan penggunaan peta minda memberikan impak positif dalam meningkatkan prestasi pelajar menguasai topik matapelajaran Pendidikan Islam, Sains dan Biologi.

Pada pandangan saya, dari segi tajuk yang diberikan adalah terlalu panjang bagi kajian tindakan ini. Ia boleh dimurnikan dengan menggunakan tajuk ‘Teknik Peta Minda dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P).’ Secara keseluruhan, saya mendapati kajian yang dilakukan adalah bersesuaian dengan maksud kajian itu sendiri dimana sebelum penggunaan peta minda pelajar tidak dapat menguasai topik yang dipelajari. Apabila guru memperkenalkan teknik peta minda, teknik ini didapati memudahkan dan membantu para pelajar memahami sesuatu topik dengan lebih berkesan. Perkara yang paling penting adalah sebelum mengarahkan pelajar membuat peta minda, guru perlu menerangkan terlebih dahulu secara mendalam dan teliti cara dan teknik yang betul untuk membuatnya supaya pelajar faham tujuan guru mengarahkan mereka melakukan sedemikian.

KAJIAN TINDAKAN 2:

Meningkatkan Penglibatan Aktif Pelajar Semasa Proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) Melalui Kaedah Permainan Di Dalam Kelas 4 Dedikasi SMK Bandar Rinching.

Pembentang: Nor Zira binti Shafie (P48688) dan Nor Bahariah binti Baharin (P48665)

Penyelia: Ustazah Khadijah Abdul Razak

Dari segi penyataan masalah bagi kajian ini adalah pelajar didapati tidak memberikan perhatian seratu peratus di dalam kelas semasa proses P&P dijalankan. Pelajar juga dilihat malu untuk bertanya di dalam kelas. Selain itu, apabila disoal oleh guru, pelajar dilihat kurang berkeyakinan untuk memberikan jawapan atau mengutarakan pendapat mereka sendiri. Pelajar juga lemah dalam aspek kemahiran berfikir kreatif dan kritis (KBKK).

Metodologi yang digunakan adalah mengikut model Kemmis dan Mac Taggart (1998) iaitu Gelungan Skema Kajian Tindakan Berterusan yang mempunyai 2 kitaran. Hasil kajian pada kitaran pertama akan dibuat refleksi dan kemudiannya diteruskan dengan kitaran kedua. Semasa refleksi awal, masalah yang dikaji dikenalpasti selepas 2 kali sesi pengajaran dijalankan. Refleksi dilakukan daripada markah ujian setara 2 tingkatan 4 yang dijalankan pada bulan Ogos 2009. Refleksi ini merupakan instrumen pre-test. Seterusnya, guru merancang 3 permainan yang dijalankan iaitu bola hikmah, dam ular dan dart.  Ketiga-tiga permainan ini dijalankan pada bulan Ogos sehingga awal bulan Oktober. Permainan bola hikmah dijalankan secara individu manakala dua lagi permainan dilaksanakan secara berkumpulan. Melalui refleksi awal yang dilakukan, terdapat penambahbaikan dimana aktiviti permainan yang melibatkan individu digantikan dengan berkumpulan, pembahagian kumpulan lebih kecil bagi permainan ketiga, masa perbincangan dan menjawab soalan ditetapkan dan soalan yang diberikan bagi permainan kedua dan ketiga adalah lebih mencabar.

Setting dan sampel kajian telah dibuat di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Rinching. Kajian ini melibatkan seramai 40 orang pelajar. Kajian ini dibuat selama 3 bulan bermula Julai 2009 sehingga Oktober 2009 melalui 3 permainan yang dipilih iaitu bola hikmah, dam ular dan dart.

 Pengumpulan data dibuat menggunakan 5 pendekatan iaitu ujuan pre-test (ujian setara 2 tingkatan 4), pemerhatian oleh guru semasa sesi P&P dan sesi permainan berlangsung, temubual selepas ketiga-tiga permainan dilaksanakan, soal selidik yang dilaksanakan (35 soalan dikemukakan) dan juga ujian post-test.

Dari segi penganalisaan data pula, dapatan kajian menunjukkan semasa pre-test, pelajar lemah dalam subjek Sains terutamanya bahagian subjektif dan purata markah yang lulus hanyalah 7 orang. Pelajar juga dilihat lebih suka berdiam diri atau menjawab tidak tahu sekiranya disoal di dalam kelas. Selepas aktiviti permainan dijalankan,  pelajar lebih berani untuk menjawab soalan subjektif dan terdapat peningkatan markah terutamanya pada subjek Sains kertas dua. Selain itu, pelajar juga berpendapat aktiviti permainan tersebut mengembangkan kemahiran berfikir mereka dan meningkatkan keyakinan diri untuk berinteraksi di dalam kelas.

 Implikasi daripada kajian yang dijalankan menunjukkan kaedah permainan dapat meningkatkan penglibatan aktif pelajar semasa proses P&P dijalankan. Selain itu, pendekatan permainan membantu meningkatkan keyakinan pelajar selain mengembangkan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis mereka.

Tajuk bagi kajian tindakan ini didapati terlalu panjang tetapi boleh diterima kerana ia tidak menyatakan subjek-subjek tertentu dalam tajuk. Sekiranya melalui proses pemurnian, tajuk ini boleh ditukarkan kepada ‘Kaedah Permainan dalam Proses P&P.’ Daripada kajian yang dijalankan, saya mendapati untuk menggalakkan penglibatan pelajar di dalam kelas, guru haruslah menggunakan pendekatan berpusatkan pelajar seperti mengadakan aktiviti permainan yang dinyatakan. Walaubagaimanapun, penglibatan aktif pelajar di dalam kelas sahaja tidak mencukupi sekiranya tidak ada peningkatan di dalam keputusan peperiksaan mereka. Oleh itu, ujian perlu dijalankan bagi melihat samada pelajar betul-betul memahami subjek tersebut. Ujian yang telah dijalankan membuktikan bahawa terdapat peningkatan dari segi markah bagi subjek Sains. Oleh itu, saya mendapati penglibatan pelajar seiring dengan peningkatan dalam keputusan ujian mereka. Selain itu, saya mendapati bukan sahaja para pelajar tetapi guru-guru juga perlu kreatif dan kritis dalam memberikan yang terbaik dalam pengajaran mereka kepada pelajar.

 

Posted by: AINI | November 9, 2009

Aktiviti 2: Tugasan 2 Ulasan Jurnal

Jurnal 1:

Improving Accounting Education Through the Use of Action Research

Catriona Pasey, Nicholas J. Paisey (2005)

Contoh kajian tindakan yang dijalankan oleh penulis atau penyelidik:

Kajian tindakan diaplikasikan kepada projek skala kecil dalam meningkatkan kemahiran pelajar melakukan kajian dengan menggalakkan mereka membaca daripada dokumen sumber utama atau sumber penting.

Masalah yang dijadikan kajian:

Pelajar dalam bidang perakaunan lebih bergantung kepada penggunaan buku teks yang telah dipermudahkan dan dirumuskan bagi subjek mereka. Jadi masalah kajian ini adalah bagaimana menggalakkan pelajar untuk membaca daripada dokumen sumber utama atau sumber penting seperti standard perakaunan dan draf pendedahan berbanding buku teks yang telah dipermudahkan dan dirumuskan.

Sampel kajian:

Sampel kajian terdiri daripada 52 orang pelajar kelas kepujian semester akhir yang mengambil subjek Financial Accounting for Groups and Companies pada semester 1 dan subjek Financial Reporting Issues and  Application dan International Accounting pada semester 2.

Setting kajian:

Kajian dijalankan di Glasgow University dan Heriot-Watt University, United Kingdom.

Bagaimana pengkaji melakukan kajian tindakan:

Pengkaji menggunakan model Basey (1998) dan Hand (2001) yang mempunyai 5 langkah iaitu mengenalpasti masalah dan rangka soalan dalam kajian, kumpul data dan buat keputusan bagaimana kaedah pengajaran boleh diubah, laksanakan perubahan yang dipilih dalam pengajaran, pantau dan nilai perubahan yang dilakukan dan melihat semula kepada perubahan yang dibuat dan ulang semula kitaran jika perlu.

Bagaimana data dipaparkan:

Data dipaparkan menggunakan jadual dan juga soalan kajiselidik yang berbentuk tertutup. Terdapat 4 jadual iaitu jadual 1:Kegunaan setiap bahagian dalam UKGAAPlus, jadual 2: Sejauhmana sesuatu bahagian itu membantu, jadual 3: Tujuan bagi penggunaan setiap bahaian dal GAAPlus dan jadual 4: Ciri-ciri pakej perisian tersebut.

Pengumpulan dan penganalisisan data:

Data dikumpulkan secara kualitatif iaitu melalui perbincangan secara tidak formal dengan pelajar, selain itu temubual secara langsung dengan pustakawan untuk melihat penggunaan buku teks dikalangan pelajar dalam subjek perakaunan ini. Selepas itu, perisian UKGAAPlus diperkenalkan.

Analisa data kemudiannya dibuat menggunakan soal selidik yang dilakukan kepada para pelajar  bagi melihat sejauhmana penggunaan perisian tersebut membantu para pelajar dalam subjek Perakaunan. Soal selidik ini dibahagikan kepada 4 bahagian seperti yang dinyatakan di atas iaitu bahagian 1:Kegunaan setiap bahagian dalam UKGAAPlus, bahagian 2: Sejauhmana sesuatu bahagian itu membantu, bahagian 3: Tujuan bagi penggunaan setiap bahaian dal GAAPlus dan bahagian 4: Ciri-ciri pakej perisian tersebut samada mesra pengguna atau tidak.

Jurnal 2:

Supporting Academic Improvement among Eight Graders at Risk for Retention : An Action Research Intervention

E.C.M Mason (DePaul University) & H.George McMahon (2009)

Contoh kajian tindakan yang dijalankan oleh penulis atau penyelidik:

Kajian dilakukan untuk meningkatkan pencapaian di kalangan pelajar Gred 8. Pengkaji menjadi fasilitator dan pada masa yang sama melakukan penyelidikan terhadap para pelajar.

Masalah yang dijadikan kajian:

Pencapaian yang lemah dikalangan pelajar menyebabkan pengkaji cuba melakukan pembaharuan bagi meningkatkan pencapaian pelajar dengan bertindak menjadi fasilitator serta pada masa yang sama membuat penyelidikan terhadap pelajar-pelajar tersebut.

Sampel kajian:

Sampel kajian terdiri daripada pelajar sekolah menengah yang tidak pernah menerima perkhidmatan kaunseling. Intervensi dilakukan kepada 33 orang pelajar iaitu 16 orang pelajar lelaki dan 17 orang pelajar perempuan. Daripada 33 orang ini, terdapat 24 orang pelajar African American, 5 orang pelajar European American, 3 orang pelajar pelbagai bangsa dan seorang pelajar Hispanic.

Setting kajian:

Setting kajian dilakukan di sekolah bandar pertengaan (middle urban school).

Bagaimana pengkaji melakukan kajian tindakan:

Pengkaji melakukan kajian dengan menerangkan sebab, keperluan motivasi dan tujuan diadakan intervensi tersebut kepada pelajar. Seterusnya, pelajar akan diberikan borang kebenaran untuk diisikan bagi mendapatkan pengesahan daripada ibubapa. Program intervensi dijalankan setiap minggu dalam bentuk kumpulan kecil iaitu 7 orang dengan kaunselor. Aggaran 30 minit  diberikan kepada setiap sesi. Antara topik kemahiran yang ditekankan adalah:

  1. rancangan belajar (tugasan yang perlu disiapkan)
  2. pengurusan masa selepas sekolah
  3. pencapaian belajar (direkodkan)
  4. mengatur buku nota
  5. meminta bantuan guru

Pelajar kemudiannya akan berjumpa dengan kaunselor secara individu. Kaunselor melihat gred semasa yang dicapai, serta menguatkan kembali apa-apa yang dibahaskan dalam kumpulan.

Pengumpulan dan Penganalisisan Data:

Data dikumpulkan dengan menggunakan kaedah kualitatif. Data diperoleh daripada temuramah yang dijalankan dengan para pelajar. Kemudian, 3 set data dikumpulkan bagi setiap pelajar untuk menilai intervensi yang dijalankan. 3 set ini terdiri daripada:

  • Nilai 5 mata pelajaran yang didapati pada akhir masa penentuan gred.
  • Nilai purata kumulatif, menggunakan skala 4 akan dikira untuk setiap pelajar setiap kali penandaan kad laporan pelajar.
  • Skor markah yang diperoleh oleh pelajar akan dikumpul dan dibuat perbandingan peperiksaan yang diambil pada akhir tahun setelah intervensi dilakukan kepada pelajar.

Jurnal 3: Raising School Attendance: A Case Study of Good Practice in Monitoring and Raising Standards

Ken Reid (2006)

Contoh kajian tindakan yang dijalankan oleh penulis atau penyelidik:

Kajian tindakan ini dilakukan untuk menguruskan dan mengurangkan masalah ketidakhadiran (ponteng) sekolah dikalangan pelajar.

Masalah yang dijadikan kajian:

• Terdapat sekolah-sekolah di England yang mengalami masalah ponteng sekolah selama 30 tahun walaupun sakolah telah melakukan pelbagai usaha untuk menanganinya.
• Apabila pelajar tidak datang sekolah, adalah sukar untuk sekolah tersebut mendapatkan peningkatan dari segi kualiti, standard dan tahap pencapaian bagi pelajar dan sekolah itu sendiri seperti mengikut piawaian yang ditetapkan oleh jadual liga prestasi, sasaran penaksiran (SATS), ujian-ujian luar dan pemeriksaan yang dilakukan oleh Office for Standards in Education (Ofsted).
• Permasalahan kajian disini adalah mencari kaedah atau pendekatan terbaik bagaimana meningkatkan kehadiran pelajar ke sekolah.

Sampel kajian:

• 70 peratus daripada 286 sekolah-sekolah di England.
• Sekolah-sekolah yang mengalami masalah berkaitan ketidakhadiran pelajar kurang daripada sasaran (95% sekolah rendah dan 92% sekolah menengah) atau pengurusan sekolah yang tidak tersusun).

Setting kajian:

• Pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah di England.

Bagaimana pengkaji melakukan kajian tindakan:

• Menggunakan satu sistem yang dikenali sebagai School Based Scheme (bermatlamat jangka panjang).
• SBS menyediakan 1 format untuk mengawal kehadiran pelajar bagi mematuhi perundangan.
• SBS bertujuan untuk memperbaiki kedudukan setiap sekolah di jadual liga prestasi dan memperbaiki kehadiran pelajar di sekolah-sekolah yang mempunyai kadar ponteng sekolah yang sangat tinggi.
• Terdapat 5 peringkat dalam SBS yang menunjukkan kadar ponteng sekolah dan cara menanganinya iaitu:
i. melebihi 92% -tiada apa-apa tindakan
ii. antara 85%-92% -pelajar akan diberi amaran
iii. antara 75%-84% -pelajar dan ibu bapa dikehendaki menghadiri perjumpaan dengan panel kehadiran
iv. antara 65%-74% – pelajar dan ibu bapa dikehendaki menghadiri perjumpaan dengan governor’s attendance pane
v. bawah 65% -pelajar dan ibu bapa dikehendaki menghadiri perjumpaan dengan panel LEA dan kes mungkin boleh didakwa.

Pengumpulan dan Penganalisisan Data:

• Data dikumpulkan melalui sekolah dan juga pemeriksaan yang dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan terhadap setiap sekolah.
• Peratusan kehadiran pelajar akan dikira pada separuh penggal pertama sekolah.
• Kehadiran pelajar seterusnya dinilai dan dikategorikan mengikut sistem SBS yang dinyatakan di atas.

Posted by: AINI | November 8, 2009

Tugasan 1: Ulasan buku

Tajuk Buku: Teachers Investigate Their Work: An introduction to the methods of action research

Penulis: Herbert Altrichter, Peter Posch and Bridget Somekh (1993)

Maksud kajian tindakan berdasarkan buku ini adalah satu kajian mengenai situasi sosial dengan gambaran bagi meningkatkan kualiti tindakan di dalamnya.

Guru melakukan kajian tindakan bertujuan untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran (P&P) begitu juga dengan keadaan di sekolah bagi guru-guru dan murid-murid. Selain itu, kajian tindakan bertujuan untuk membantu guru-guru agar dapat menerima segala cabaran dan masalah-masalah pengamalan serta dapat menjalankan kajian inovasi  secara intelektual. Seterusnya para guru bukan hanya menjalankan menjalankan kerja-kerja bagi tujuan kemajuan sekolah malah seharusnya mengembangkan pengetahuan dan kualiti profesional mereka. Guru juga boleh memberi sumbangan yang penting kepada pengetahuan melalui profesion mereka.

Langkah pertama bagi sesuatu kajian bermula dengan pengalaman-pengalaman dalam proses kegagalan untuk memadankan atau membezakan sesuatu. Ia boleh terjadi disebabkan:

  • Perbezaan yang ketara di antara perancangan dan sangkaan di satu pihak dan pengamalan yang sebenar di pihak yang lain. (sebagai contoh penyemakan semula bagi memeriksa mereka telah kerja rumah mereka adalah menjurus kepada pengamalan kerja yang berkesan tetapi kerja penulisan adalah selalunya ringkas dan di tahap yang lemah)
  • Kegagalan untuk memadankan di antara situasi semasa dan nilai hala tuju sesuatu pembangunan ataupun objektif (contohnya, matlamat seorang guru supaya semua pelajar dapat membuat yang terbaik di dalam peperiksaan memerlukan beliau untuk menetapkan satu tugasan yang mencabar tetapi ianya mengarah kepada  permasalahan dengan kerja rumah dan ia sebenarnya mendorong kepada kebanyakan punca kegagalan)
  • Perbezaan yang ketara diantara kpelbagaian pemahaman manusia dan situasi yg sama (contohnya kelas tambahan selepas waktu persekolahan telah dianggap sebagai hukuman atau bebanan dikalangan pelajar)

Berdasarkan kepada Marion Dadds (1985), 3 jenis permulaan bagi setiap kajian :

  • Keprihatinan -  contohnya cuba untuk menjalankan sesuatu idea yang berpotensi, membangunkan kekuatan, atau mampu menerima sesuatu rutin dengan lebih berwaspada
  • Permasalahan – contohnya perlu meningkatkan situasi yg sukar, penyelesaian masalah, membuat sesuatu utk memeperbaiki kekurangan, ( dalam erti kata, kualiti bahan2 pengajaran)
  • Situasi yg tidak jelas – guru-guru selalunya memulakan kajian mereka dengan ketidakpastian yg lebih besar ataupun yang lebih kecil; situasi dimana sama ada positif ataupun negatif secara jelas. Sama ada yang menyeronokkan ataupun yang memberi tekanan, tetapi yang manakah menaikkan isu yang mereka benar-benar ingin fahami. Biasanya, kerja mereka dimulakan dengan pengalaman-pengalaman yang tidak dijangka di dalam bilik darjah yang mana mereka tidak boleh diganggu, tetapi kepercayaan adalah satu langkah permulaan untuk peningkatan pengajaran yang akan datang

Dalam melakukan kajian tindakan, guru melakukan pengumpulan data melalui:

  • Pemerhatian dan situasi maklumat:  biasanya melalui pemerhatian secara terus dimana pemerhatian secara terus tidak memerlukan apa-apa alatan teknikal melainkan pensil dan kertas. Dalam membuat pemerhatian, terdapat 4 cara yang boleh digunakan iaitu pemerhatian secara langsung, rakaman bunyi, fotografi dan rakaman video.
  • Temubual: memberi ruang kepada penyelidik untuk melihat seseorang itu diluar kelakuaan biasa mereka. Maksud disini adalah pengkaji boleh membaca terus persepsi seseorang termasuk pemikiran, atitud dan juga pendapat yang wujud disebalik kelakuan atau gelagat seseorang yang ditemubual.
  • Penulisan secara bertulis: merupakan temuramah secara rasmi berdasarkan soalan kajiselidik. Perbezaan antara penulisan secara bertulis dan temubual adalah penemubual tidak boleh memberikan pandangan atau respon secara terus kepada jawapan sesuatu soalan.
  • Penggabungan kaedah (yang dipanggil kaedah segitiga): Dijana daripada kombinasi di antara pemerhatian dan temu bual yang menjadikan data di dalam situasi tertentu dikumpulkan melalui 3 sudut iaitu perspektif guru-guru, perspektif murid dan perspektif pihak ketiga.

Guru melakukan penganalisisan data menggunakan kaedah penganalisisan yang berkesan iaitu membuat kesimpulan data. Kesimpulan bagi data mungkin mengandungi jawapan-jawapan kepada soalan-soalan yg berikut :

  • Apakah konteks yang membolehkan data di kumpul? Mengapa ianya dikumpulkan? Mengapa di dalam situasi yg tertentu?Mengapa menggunakan kaedah-kaedah pengumpulan?
  • Apakah fakta yg terpenting di dalam data? Adakah terdapat sesuatu yg mengagumkan?
  • Berkenaan kajian isu manakah yang menjadikan data itu bermaklumat?

Kesimpulan data adalah tidak kurang dari 2 muka surat. Jiika tidak ia akan hilang nilai-nilai  sebagai sumber rujukan. Selain itu, data boleh dianalisis dengan membahagikan data-data kepada beberapa kategori – setiap kategori perlu di pilih yg mana ianya relevan kepada soalan kajian dan pada masa yg sama sebahagian daripadanya menceritakan kandungan data. Dengan menggunakan kategori-kategori ini, data dpt diuruskan dengan baik. Sebagai contoh, dengan memberikn kategori yg sesuai kepada setiap bentuk penulisan. Proses dikenali sebagai peletakan kod.

Posted by: AINI | November 7, 2009

Aktiviti 1: Tugasan 1

DEFINISI KAJIAN TINDAKAN (BERKUMPULAN)

Buku:

1.  Teachers Investigate Their Work:An introduction to the methods of action research (1993)

2.  A Teacher’s Guide to Classroom Research (2008)

 Elliot (1991:69): Kajian mengenai keadaan sosial dengan gambaran bagi meningkatkan kualiti tindakan bertujuan untuk menyalurkan penilain praktikal dalam situasi yang konkrit, dan kesahan teori atau hipotesis.

 Kemmis (1983): pembentukan refleksi kendiri oleh penyelidik di dalam situasi sosial untuk mempertingkatkan secara rasional amalan pendidikan. Kajian tindakan ini lebih berkesan sekiranya dilakukan secara kolaboratif namun  ia masih boleh dilakukan secara individu dan kadangkala kerjasama pihak luar. Dalam sistem pendidikan, kajian tindakan dilakukan untuk perkembangan kurikulum sekolah, perkembangan profesional, perkembangan program sekolah dan perkembangan sistem perancangan dan polisi.

 Mills (2003): Kajian tindakan ialah pertaanyaan secara sistematik yang dikendalikan oleh guru sebagai penyelidik untuk mengumpulkan maklumat tentang cara pengendalian sekolah, bagaimana guru mengajar dan bagaimana pelajar belajar.  Maklumat dikumpulkan dengan satu matlamat yang ingin dicapai, membina perkembangan refleksi, memberi perubahan yang positif kepada persekitaran sekolah dan amalan pendidikan secara umum, dan meningkatkan perkembangan positif pelajar.

 Ebbut (1985): Kajian tindakan adalah kajian secara sistematik untuk mempertingkatkan amalan pendidikan secara berkumpulan yang dilakukan oleh pengkaji sendiri dimana pengkaji sendiri terlibat secara langsung dan membuat refleksi.

 Secara rumusannya, kajian tindakan adalah satu kajian terhadap situasi sosial yang bertujuan  untuk penambahbaikan samada kepada amalan pendidikan dan kurikulum sekolah , perkembangan professional, perkembangan sistem perancangan dan polisi dan perkembangan pelajar. Kajian tindakan ini adalah lebih baik dilakukan secara kolaboratif namun masih juga boleh dilakukan secara individu atau dengan kerjasama pihak luar. Kajian ini melibatkan guru sendiri sebgai pengkaji dimana mereka terlibat secara langsung dan membuat refleksi.

Posted by: AINI | October 29, 2009

Tugasan kelas: Model Kajian Tindakan

KONSEP KAJIAN TINDAKAN

Kajian tindakan ialah satu proses yang dilakukan selepas pemerhatian ke atas sesuatu isu atau masalah berdasarkan data dan maklumat yang diperolehi untuk dijadikan sebagai panduan dalam proses penambahbaikan.

Kajian dilakukan adalah untuk menambah pengetahuan dan mengembangkan pengetahuan yang sedia ada berdasarkan penyelidikan yang dilakukan. Kajian juga dapat guru-guru mengenalpasti masalah atau isu yang timbul di samping dapat mambaiki kelemahan-kelemahan yang wujud dalam sesuatu masalah.

Selain itu, kajian tindakan juga dikenali sebagai penyelidikan gunaan. Masalah kajian tindakan ini boleh wujud dalam konteks bilik darjah ataupun dalam konteks persekitaran sekolah atau komuniti.

Carl & Kemmis (1986) berpendapat:

“Action research is a form of self-reflective enquiry undertaken by participants (teachers, students or principals, for example) in social (including educational) situations in order to improve the rationality and justice of (a) their own social or educational practices, (b) their understanding of these practices, and (c) the situations (and institution) in which these practices are carried out.”

 Gay & Airasian (2000) berpendapat kajian tindakan sebagai:

“…a process in which individual or several teachers collect evidence and make decisions about their own knowledge, performance, beliefs, and effects in order to understand and improve them”

Kajian tindakan bukan sahaja boleh dijalankan dalam konteks kelas tetapi juga dalam komuniti pendidikan dan komuniti yang berhubungan dengan pendidikan dan sekolah.

Creswell (2005) membahagikan kajian tindakan kepada dua jenis, iaitu:
i. kajian tindakan amalan (practical action research)
ii. kajian tindakan penyertaan (participatory action research)

Kajian tindakan amalan melibatkan peninjauan amalan guru dalam konteks bilik darjah. Manakala kajian tindakan penyertaan melibatkan kajian tentang isu-isu sosial yang menganggu perkembangan pelajar.

Model 1: Model Kemmis dan McTaggart (1988)  iaitu ‘action research cycle’ merupakan model yang biasanya digunakan dalam menjalankan kajian tindakan. Terdapat 4 elemen utama dalam model ini iaitu:

  1. Mereflek (reflect)
  2. Merancang (plan)
  3. Bertindak (action)
  4. Memerhati (observe)

kemmis

Gelung Kajian Tindakan (Kemmis & McTaggart, 1988)

 Proses kajian tindakan bermula dengan guru menjalankan refleksi ke atas satu-satu isu pengajaran dan pembelajaran yang hendak ditangani. Kemudian guru itu menyediakan satu pelan yang sesuai untuk mengatasi masalah yang dihadapinya. Seterusnya guru melaksanakan pelan yang dihasilkan dan dalam proses pelaksanaannya guru terpaksalah memerhati kemajuan tindakan yang dijalankan itu. Keseluruhan pelaksanaan itu disifatkan sebagai Gelungan Pertama (Cycle 1) dan jika masalah itu tidak dapat diatasi, maka guru bolehlah memulakan proses semula ke Gelungan Kedua (Cycle 2) sehinggalah masalah itu diselesaikan. Pada Gelungan Kedua guru mesti mereflek dan membuat adaptasi terhadap pelan tindakan beliau. Satu kritikan terhadap model ini ialah ia sentiasa berlanjutan dan tiada mutakhirnya (finality). Oleh itu, seseorang guru yang menjalankan kajian tindakan hendaklah pragmatik dan perlu memastikan bahawa pelan tindakan beliau selaras dengan kurikulum yang hendak disampaikan.

Model 2: Model Kajian Tindakan Ebbut (1985)

Untitled

Kajian tindakan merupakan satu bentuk inkuiri refleksi kendiri yang dilakukan secara kolektif. Ianya merupakan suatu pengkajian yang sistematik oleh sekumpulan pengamal terhadap usaha-usaha untuk mengubah dan memperbaiki amalan pendidikan melalui tindakan praktis mereka sendiori serta refleksi terhadap kesan atau akibat tindakan tersebut.

Model 3: Model Kajian Tindakan Bassey (1998) dan Hand (2001)

Model kajian tindakan oleh Bassey (1998) dan Hand (2001) mempunyai lima peringkat.

Peringkat pertama:

Mengenalpasti masalah dan merangkakan soalan kajian (Define the problem and frame research questions)

Masalah perlu dikenalpasti terlebih dahulu dan soalan kajian hendaklah dirangkakan.

Peringkat kedua:

Mengumpul data dan membuat keputusan bagaimana kaedah pengajaran boleh diubah (Collect data and decide how teaching could be changed)

 Peringkat ini melibatkan pengumpulan data dan tindak balas kepada data tersebut untuk mengenalpasti bagaimana perubahan pengajaran dapat memberikan kesan. Kajian terhadap subjek pendidikan seperti kaedah pengajaran yang terbaru mungkin dapat dibuat dalam mengenalpasti tindak balas.

Peringkat ketiga:

Laksanakan perubahan yang dipilih dalam pengajaran (Implement the selected changes to teaching)

Perubahan yang dipilih semasa pengumpulan data, kajian dan refleksi akan dilaksanakan.

 Peringkat keempat:

Memantau dan menilai perubahan yang dilakukan (Monitor and evaluate the changes made)

Kajian tindakan boleh diterjemahkah dalam pelbagai maksud termasuk menyimpan nota mesyuarat, perbincangan-perbincangan staf, temuduga dan soalan kajiselidik.

 Peringkat kelima:

Melihat semula kepada perubahan yang dibuat dan kemudian mengulang semula kitaran jika perlu (review and reflect upon the changes. Repeat cycle if necessary)

Model 4: Model Kajian Tindakan Elliot (1991)

 

Dalam model kajian tindakan Ellit (1991), Idea utama utamanya adalah penyelidik membangunkan pemahaman peribadi ke atas sesuatu masalah dan pengertian abstrak itu adalah penting dalam melaksanakan tindakan (Elliott , 1987:157). Bagi John Elliott, kajian dalam pendidikan adalah satu usaha susila yang mencari dan memahami nilai-nilai dalam pendidikan. Elliott (1985a) berpendapat kajian dalam pendidikan sepatutnya menjadi bentuk kajian tindakan yang baru di mana para guru akan menjadi penyumbang utama.

Guru adalah ikon kepada para pelajar sebagaimana  setiap tutur kata mereka didengar, dianalisa, disimpan dan diamalkan sewaktu usia persekolahan. Pendidik adalah nama lainnya bagi guru yang bertanggungjawab mendidik dengan menggunakan kebijaksanaan, mempersembahkan kemahiran serta menzahirkan pengetahuan yang ada dikalangan penuntut. Justeru, adalah amat penting bagi setiap setiap diri pendidik mempraktikkan amalan membuat kajian serta analisa agar setiap ilmu yang diluahkan tepat dan menjadi sumber.

Antara 12 sebab yang mengkehendaki setiap insan pendidik membuat  kajian adalah seperti berikut :-

  1. Guru menjadi sumber rujukan utama di sekolah malahan di luar sekolah. Jelas menunjukkan bahawa setiap insan pendidik haruslah mengetahui selok belok setiap subjek yang di ajar agar mereka memperolehi sumber rujukan yang tepat dan bermaklumat.
  2. Guru dapat mengenalpasti kekuatan dan kelemahan sesuatu kaedah atau teknik pengajaran yang digunakan semasa proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) berlangsung.
  3. Guru dapat memperbaiki kaedah atau teknik pengajaran yang digunakan supaya lebih mengikut keperluan dan kehendak semasa para pelajar.
  4. Guru akan menjadi lebih kreatif dan kritis dalam melaksanakan sesuatu kaedah pengajaran.
  5. Guru adalah gambaran bagi dunia luar dikalangan para pelajar, perlu diingati setiap butir perkataan yang keluar dari mulut guru menjadi ikutan para pelajar. Jelas sekali, kebijaksanaan berkata-kata menjadi perkara asas, kemahiran tersebut boleh dipelajari dari buku-buku pemidato agong di dunia, kajilah…
  6. Guru adalah pembentuk akhlak diri pelajar berpandukan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah, pengamatan serta pengamalan diri adalah amat penting sebelum membentuk diri para pelajar. Media massa menyediakan pelbagai sumber bagi tujuan tersebut, hanya memerlukan inisiatif setiap guru untuk menyelidik.
  7. Guru ibarat pemimpin di sekolah malah di luar sekolah, slogan Kepimpinan Melalui Teladan perlu dikaji sedalamnya untuk menjadi seorang pemimpin yang berkaliber.
  8. Guru pembentuk jati diri pelajar supaya bangga menjadi Rakyat Malaysia, penerapan melalui penceritaan sejarah serta mengagumi perjuangan tokoh adalah amat berkesan. Demikian itu, guru-guru perlu mengimbau kembali sejarah serta menghayati perjuangan tokoh-tokoh terdahulu supaya penyampaian tampak tulen..
  9. Guru di zaman serba moden ini perlulah sentiasa peka terhadap kemajuan teknologi tanpa semapadan ini. Mereka seharunya mendahului pelajar agar tidak mudah di tindas dan ketinggalan.
  10. Guru perlu mengkaji peluang-peluang kerjaya di masa hadapan agar dapat memberi inspirasi yang berkesan kepada para pelajar.
  11. Guru bukan sahaja memperoleh dapatan dari hasil kajian tetapi juga dapat membina kemahiran melakukan sesuatu penyelidikan.
  12. Guru boleh membuat penambahbaikan selepas sesuatu kajian itu dijalankan.

« Newer Posts

Categories

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.